Lyeanna Wana Official Blog lyeanna wana: August 2013

Saturday 17 August 2013

Nisreen (Part 14)

“Assalamualaikum! Ashraf! Oh Ashraf!” belum sempat sepatu lusuh Converse kutanggalkan di hadapan pintu, nama Ashraf sudah kupanggil-panggil. Senyap. Tiada bunyi. Tidur ke apa? Aku masuk ke petak bilikku untuk meletakkan beg galas dan segera keluar semula untuk melihat petak bilik Ashraf.
           
“Astaghfirullahalazim” aku mengurut-urut dadaku sebaik sahaja masuk ke dalam petak bilik Ashraf. 

Keadaan biliknya seperti tongkang pecah. Pakaian dan buku bersepah di sana sini. Kelihatan Ashraf tertiarap sendiri di atas katil bujangnya. Tidur? Berangan? Entah. Yang pasti masih belum mati kerana aku masih dapat melihat pergerakan dadanya walaupun tertindih dengan tilam.
            
“Wei Ashraf. Apahal dengan bilik kau ni? Tak rupa bilik dah aku tengok. Aku tahulah kau anak jantan. Tak berapa reti nak mengemas. Tapi ni dah tahap lubang tikus. Silap hari bulan betul-betul ada tikus kat bilik kau ni” tanpa sedar aku sudah mula berceramah kepada rakanku yang seorang ni.

 Perlahan-lahan aku menapak dalam bilik itu, risau kalau-kalau terpijak benda-benda yang berbahaya dan terus menuju ke birai katil Ashraf. Kakiku sibuk menguis-nguis baju yang menghalang laluanku sehingga membentuk seakan-akan denai kecil dari pintu petak bilik ke birai katil Ashraf.
           
Tubuh yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek itu aku tampar lembut berkali-kali. Tiada respons. Tamparan bertukar tumbukan. Juga tiada respon. Hai budak Ashraf ni dah buat aku cuak. Dari tadi aku mengomel seorang-seorang langsung tak ada apa-apa tindak balas. Ni lagi seorang nak buat aku jadi macam tunggul. Aku bangun dari birai katil itu dan berjalan sehingga aku dapat berdiri jauh sedikit daripadanya.
            
Gedebuk! Kulit putih Ashraf sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.
            
“Woi! Sakitlah bodoh! Kau apahal?!” anak jantan yang dari tadi diam membisu mula mengeluarkan suara halilintarnya
           
“Lah, hidup lagi rupanya. Kalau dah mati tadi aku baru ingat nak buat sandbag. Dapatlah peralatan gym free satu kat bilik ni” aku cuba buat-buat tenang sedangkan pedih pinggulku ini tiada siapa yang tahu betapa sakitnya. Namun cuba kutahankan jua kerana aku juga yang berani sangat bertindak menghenyak tubuh Ashraf dengan tubuhku sendiri seolah-olah tubuh Ashraf itu tilam empuk milikku di rumah umi. Akibatnya, aku ditendang ke bawah dan dibelasah dengan bantal penuh peta milik Ashraf ke arahku. Eww, kena samak ni.
            
“Tak lawak okey, tak lawak. Blah lah weh. Jangan kacau aku. Aku nak baring seorang-seorang” respon yang diberikan tidak begitu memberangsangkan. Bantal yang dibaling dicapai semula dan kembali ke posisi asal. Aik? Ashraf ni dah meroyan ke apa? Perangai macam perempuan. Aku bangkit dari lantai dan duduk semula di birai katil Ashraf.
          
  “Kau apahal Ashraf? Macam orang hilang bini je. Ke hilang Solehah?” soalan yang berbaur gurauan cuba aku selitkan dalam misiku untuk mengorek kebenaran teoriku tadi. Ashraf seakan tersentak. Perlahan-lahan dia memusingkan badan menghadap ke arahku.
           
“Ameer, orang tu kalau sayang kita…dia..akan tinggalkan kita tak?” seakan tersekat suaranya di kerongkong, perlahan-lahan bibir Ashraf menutur soalan. Aku terkesima. Tekaanku semakin mengena. Debaran kencang di dada cuba ku tahan. Sabar hati, segalanya masih belum pasti.
          
  “Well, depends. Macam tentera. Dia tinggalkan anak bini dia kat rumah bukan sebab dia tak sayang. Tuntutan kerja, kan” aku cuba menjawab dengan muka yang selamba. Seboleh mungkin riak mukaku dikawal agar tidak kelihatan terlalu kaku. Nampak sangatlah nanti yang aku ini sedang berlakon.
           
Ashraf mengangguk-angguk lesu. Seketika kemudian dia menolak aku dari katilnya sebelum berpaling menghadap dinding.
         
“Patah pinggul aku ni kau jawab dengan mak aku” bentak aku, bengang. Aku bangkit dari lantai lantas memukul kuat belakang tubuhnya dengan bantal peluk dan segera berlalu dari petak bilik itu. Buat aniaya badan aku je bercakap dengan orang macam ni.

            
Tilam yang bersarung cadar biru lembut di petak bilikku kukebas-kebas perlahan sebelum melabuhkan punggung di atasnya. Gejolak jiwa yang kutahan dari tadi kembali lagi. Apakah perasaan ini? Terlalu bahagia kerana sang bidadari yang pernah aku dambakan akhirnya bakal menjadi milikku? Atau aku diburu rasa bersalah kerana sudah merebut tunangan orang?

 Ah! Takkan umi nak masuk meminang orang yang dah nak kahwin. Aku percayakan umi. Pasti ada punca besar yang menjadi keretakan hubungan atas dasar perjanjian yang telah dimeterai sejak kecil.  Tak apa, aku akan bertanyakan hal ini sendiri kepada Solehah. Hmm, bilalah boleh jumpa dia lagi. Aku tersenyum sendiri. Terlukis di awan khayalanku keindahan berumah tangga. Seakan terbayang-bayang lembut tutur Solehah, manis wajahnya, sopan gayanya. Begitu asyik aku dibuai khayalan sehingga akhirnya lena diulit mimpi. 

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 13)

Aku menyelak-nyelak helaian majalah yang terdapat di atas meja. Sesekali aku mengusap janggut yang tak berapa nak tumbuh. Tiada yang menarik untuk dibaca. Bosan! Jam tangan Omega di tangan dikerling sepintas lalu. Kelibat yang ditunggu-tunggu masih belum tiba jua. Aku mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar lalu membaca pesanan-pesanan ringkas antaraku dan si gadis malam tadi. Kami sudah berjanji ingin bertemu di restoran berhadapan dengan kampus UIA tapi sehingga sekarang aku masih termanggu-manggu sendirian.

Lima belas minit berlalu. Tak boleh jadi. Ingat aku tunggul? Beg galasku kurentap kasar. Berkecamuk perasaan dalam hatiku sekarang. Boleh pula dia buat main-main dengan aku. Perasaanku yang pada mulanya teruja bercampur gemuruh kerana bakal merungkai misteri bakal isteriku bertukar menjadi geram dan kesal. Janji dicapati! Kecewa dalam diri hanya Allah saja yang tahu. Kempunan tak usah cakaplah. Argh!!

“Assalamualaikum” baru saja kaki mahu melangkah pergi, satu suara lembut menegurku dari belakang. Langkahku mati secara automatik.

“Waalaiku…mus…sa..lam. Err Nis…reen?” terkedu sebentar aku apabila melihat sebatang tubuh yang berbaju kurung merah jambu lembut sebaik sahaja aku berpaling ke arah datangnya suara itu.

Si dara berkulit kuning langsat itu tampak manis dengan penampilan barunya yang bertudung labuh. Sekuntum senyuman yang dilemparkan menyedarkan aku. Ya Allah cantiknya makhlukmu yang seorang ini. Lama sudah tidak bertemu, lain benar kini penampilannya. ‘Manis’ bisik hati kecilku. Eh, baru perasan aku ternganga tadi. Malunya! Gadis itu tersenyum tatkala namanya disebut, tanda mengiyakan figura di depan mata aku ini bukan bayangan tetapi realiti dirinya yang sebenar.

“Erm, err, eh duduklah. Sila” aku yang seakan hilang ingatan cepat-cepat menyembunyikan rasa malu kerana ternganga tadi dengan mengarahkan tangan ke arah bangku yang berada di hadapanku.

“Lama tak nampak awak. Pergi mana?” Aku memulakan perbualan. Entah kenapa begitu kekok rasanya situasi kami sekarang. Padahal dahulu bukan main mesra di Cameron Highland. Walaupun perkenalan yang disemai sedikit sumbing pada awalnya.  

 “Ada urusan sikit di Indonesia. Ni pun balik atas urusan keluarga” singkat dan padat jawapan Nisreen. Tak perlu aku bertanya banyak soalan kepadanya lagi. Jimat masa, jimat air liur.

  “Ameer, erm…sebenarnya saya datang ni bagi pihak Solehah. Dia minta maaf sangat dia tak dapat datang. Dia kena balik ke rumah mak ayah dia. Pun sebab urusan keluarga. Jadi dia minta tolong saya yang kebetulan lapang ni untuk take note apa-apa pesanan penting daripada awak” belum sempat aku merangka soalan, Nisreen sudah menyusun kata. Aku terdiam. Oh, patutlah dia tak datang. Tapi dia boleh je kan SMS aku dulu? Kenapa kena susah-susah hantar Nisreen ke sini?

  “Lagi satu, handphone dia rosak. Tiba-tiba buat hal pagi tadi. Dia telefon saya pun pinjamhandphone Nurin” seakan mampu membaca fikiranku, Nisreen menjawab persoalan-persoalan yang berada dalam benak fikiranku.

   “Oh, tak apalah kalau begitu. Tak ada rezekilah saya nak tanya sesuatu kat dia. Tak apalah Nisreen. Saya rasa baik saya berurusan terus dengan Solehah sebab hal yang saya nak tanya ni peribadi sangat” ujarku sambil mengukir senyuman. Cuba meminta untuk difahami.

  Riak wajah Nisreen berubah sedikit namun dia kembali tersenyum sambil mengangguk-angguk kecil beberapa kali tanda mengerti.

  “Eh, awak cakap dia pinjam handphone Nurin? Besar sangat ke urusan keluarga sampai Nurin ada kat rumah dia sekali?” secara tiba-tiba idea untuk memasang jerat menjengah. Tak perlu untukku bertanya terus. Sekadar sedikit petunjuk pun sudah cukup daripada tiada apa-apa untuk hari ini.

  “Hurm, agaklah besar. Pasal masa depan Solehah juga. Lagipun mak Solehah cuma dua beradik. Tak peliklah kalau Nurin ada sekali” jawab Nisreen tanpa teragak-agak.

Jantungku seakan berhenti seketika. Tekaanku hampir mengena. Namun aku masih perlu mengambil langkah berhati-hati. Ini bukan soal jodoh aku seorang. Kalau benarlah tekaanku bahawa umi sebenarnya telah meminang Solehah untukku, soal jodoh Ashraf juga tidak terkecuali. 

  “Okeylah Nisreen. Saya rasa tak ada apa-apa dah kot. Saya nak beransur ni. Ada perjumpaan dengan kumpulan usrah pukul 5 ni. Terima kasih ya sudi datang semata-mata nak bagitahu saya. Saya beransur dulu. Assalamualaikum..” seakan tersentak dengan ingatanku terhadap rakan baikku itu, aku segera mengangkat punggung dan tergesa-gesa untuk segera berlalu pergi.

“Oh okey. It’s okay, no big deal. Waalaikumussalam” sekuntum lagi senyuman dihadiahkan sebelum aku dan Nisreen membawa haluan masing-masing.

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 12)

Ku perhatikan di kiri dan kanan rumah banglo mewah itu. Sudah tersadai beberapa buah kereta yang dikenali. Pak Long, Pak Ngah, Mak Uda yang merupakan adik beradik kandung bapaku dan satu-satunya saudara kandung ummi, Mak Lang tersenyum girang ke arahku. Begitu juga dengan sepupu-sepupuku yang masih kecil. Masing-masing kelihatan comel dengan gaun bunga tabur dan sepatu merah kecil. Si lelaki pula bergaya dengan topi dan kemeja Kikilala. Ah, Ummi tidak bergurau. Aku menepuk dahi berkali-kali.

“Umi, Umi serius ke ni?” aku berbisik ke telinga umi yang beriringan denganku ke arah saudara-mara kami yang berada di seberang jalan.

“Ameer sendiri nampakkan? Takkanlah umi bergurau sampai bawa Mak Lang semua ni” Umi membalas. Benar sangkaanku. Aku beristighfar banyak kali. Perkara ini sungguh, sungguh, mengejut. Semuanya secara tiba-tiba. Aku sendiri belum pasti aku sudah bersedia atau tidak. Aduh, masak Ameer macam ni umi!

  “Umi, psst Umi, Ameer keluar sekejap boleh. Nervous sangatlah. Takut terbuang angin kat sini pula” bisikku kepada umi yang berada si sebelah. Pak Long yang mewakili rombongan sibuk bercerita dengan si tuan rumah. Umi tersenyum kecil dan mengangguk tanda membenarkan lalu aku segera meminta diri untuk mengambil angin seketika.

Teratak yang didiami oleh 8 beranak (daripada yang kudengar sepanjang  perbincangan tadi) sungguh besar dan luas. Daripada yang kudengar juga, suami rakan Umi merupakan ahli perniagaan. Haish, siapalah bakal isteri aku yang berjaya mencuri hati umi kesayanganku tu ya? Tak sabar nak tahu. Aku terus berjalan di sekeliling halaman depan rumah itu. Tiba-tiba sebuah Proton Pesona yang dipandu seorang wanita masuk ke perkarangan rumah. Aku yang terkejut menyembunyikan diri di sebalik pasu-pasu bunga yang besar. Eh? Kereta tu..macam Solehah punya? Takkanlah..?

“Umi! Umi jawablah apa yang Ameer tanya ni. Siapa nama bakal isteri Ameer tu nanti?” aku terus menerus membuntuti umi yang sibuk memasak di dapur. Geramnya rasa. Sejak pulang dari rumah rakan umi tu, umi langsung tak mahu menjawab pertanyaanku. Dah berbuih rasanya mulut ni.

“Ish Ameer ni serabut betullah. Umi kan tengah sibuk masak ni” bebel umi sambil menepis tanganku yang nakal mencuit rendang daging di dalam kuali.

“Ala, umi jawab je apa nama bakal wife Ameer tu. Nanti Ameer tak kacau dah la” aku yang mula penat menarik kerusi dari meja makan dan duduk menghadap tubuh umi.

“Mana boleh. Nanti bila Ameer dah jumpa bakal menantu sulung umi tu Ameer tanyalah sendiri nama dia apa” jawab umi tanpa memandangku sekilas pun. Satu keluhan berat dilepaskan. Okey fine Ameer give up.  Payah betullah dengan umi ni.

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 11)

Wahai lebah pencari madu
Masihkah kau belum menemukan bunga manis yang tercipta hanya untukmu?
Telefon bimbit yang berdering mengganggu tidurku petangku. Aku menggeliat malas. Tertera nama Umi di skrin. Ada apa Umi telefon ni? Segera aku menjawab panggilan itu.

“Hello, assalamualaikum” ucap Umi.
“Waalaikumussalam” jawabku.
“Ameer tengah buat apa tu?” soal Umi.
“Baru bangun tidur. Umi kacau” aku mengusik Umi.
“Bagus Umi telefon. Ada ke patut tidur petang. Tak eloklah” Umi membalas.
“Yalah, yalah. Ada apa Umi telefon?” aku mengalih perbualan.
“Oh ya, ni ha. Umi nak minta tolong Ameer datang rumah Ahad ni. Teman Umi ke rumah kawan Umi” terang Umi menyatakan tujuan asalnya.
“Ahad? Boleh je. Bila?” soalku sambil menenyeh-nenyeh mata.
 “Petang, lepas Asar. Jangan lambat!” jawab Umi berserta amaran.
 “Okey, Ameer datang” aku menyatakan persetujuan tanpa banyak bertanya.
 “Kalau macamtu tak ada apa-apa dah. Pergi solat sana. Masuk Asar dah ni. Bye assalamualaikum” Umi menamatkan perbualan.”Waalaikumussalam” jawabku lantas segera mencapai tuala dan berlalu ke bilik air.

            Usai solat Asar, aku memutuskan untuk bersiar-siar di taman rekreasi universiti. Otakku berserabut. Wayar-wayar kewarasan seakan sudah berbelit. Kehijauan, itu yang aku perlukan. Rasulullah S.A.W sukakan warna hijau kerana hijau tenang. Tenang, ya aku perlu bertenang. Berfikir dengan teliti apa yang sedang berlaku dan rahsia di sebalik lembaran-lembaran hari yang telah aku lalui.Nisreen, Nisreen. Qilah…siapakah gadis itu? Mukanya persis milik seseorang. Rahsia di sebalik wajah suram Nisreen pada waktu senja di Cameron Highland juga masih belum berjaya kuungkap. Hendak bertanya sendiri kepada Nisreen? Mimpilah…si cilik itu aktif menyertai usrah dan jemaah yang diadakan oleh Unit Bina Insan di universiti. Bertuahlah sesiapa yang dapat meluangkan masa bersamanya bersembang seketika sewaktu berada di universiti. Jikalau tidak, bukan batang hidungnya sahaja tak nampak, sport Lamboghininya pun sentiasa berubah parkir. Sibuk mengalahkan Perdana Menteri. Aku mengingat kembali kenangan-kenangan dengan gadis bernama Qilah yang kukenal sewaktu persekolahan dahulu. Mungkin ada sedikit petunjuk. Kamera DSLR yang tidak pernah lekang daripada tanganku dibelek-belek. Mencari sesuatu yang mungkin membantu. Aku tatap foto wajah Nisreen yang suram dalam sinar remang-remang senja. Ya Allah! Itu dia!

Ahad yang ditunggu sudah tiba. Aku memperlahankan Perodua Vivaku dan menghampiri Umi yang sudah meunggu di hadapan rumah.

“Assalamualaikum” ucap Umi sebaik sahaja pintu kereta dirapatkan.
“Waalaikumussalam. Ni, nak pergi rumah kawan Umi tu Umi tahu ke jalan?” soalku.
“Umi tahulah, Ameer. Naqib selalu bawa Umi ke sana. Dah hafal pun” jawab Umi.
“Oh, okey. Umi, boleh Ameer tanya sikit?”
“Apa dia?” Umi memberi lampu hijau.
“Umi ada urusan apa ya kat rumah kawan Umi tu?” soalku. Bukannya apa, sekali lagi sifat ingin tahuku membuak-buak.
“Umi nak masuk meminang anak dialah” selamba Umi menjawab.

Kereta yang kupandu hampir terlanggar pembahagi jalan. Jawapan Umi benar-benar mengejutkan. Seakan sentakan kuasa elektrik yang kuat terkena pada diriku.  Biar betul Umi??

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 10)

Aku merebahkan diri di atas katil setelah mandi dan solat Isyak sambil memujuk mata untuk lelap. Walaupun badanku terasa penat, namun mataku masih belum mahu ditutup. Aku menenung kipas syiling yang berputar laju dan mula terkenang akan memori di zaman persekolahan.

  “Ameer, tengok diorang tu. Dari tadi asyik pandang kau je” Zahid menepuk bahuku yang sedang enak menjamu selera di kantin.

Aku menoleh. Sekumpulan pelajar perempuan asyik tersenyum-senyum ke arahku dari pondok yang berdekatan dengan kantin. Huh, mereka lagi. Farha, Huda, Wani dan Ila yang seusiaku bukan baru sekali telah berbuat begini tetapi hampir setiap kali aku ke mana-mana. Bukan hendak perasan tapi aku sememangnya perasan akan setiap kehadiran mereka yang cukup merimaskan aku. Cuma seorang sahaja daripada kalangan mereka yang memandang sekilas dan kembali menjamu selera. Aku cam muka itu. Orang memanggilnya Qilah. Pelajar pintar dan cukup alim. Rakan-rakanku sering bercerita mengenainya namun aku tidak berapa mengambil tahu tentang diri pelajar itu.

Aku tersentak. Lamunanku terhenti. Qilah. Wajahnya itu. Seakan mirip seseorang. Aku cuba memikirkannya namun hampa. Argh! Aku bangkit dan duduk  di hujung katil sambil menongkat dagu. Bengong dibuatnya aku kalau nak diingat balik. Aku mula tersenyum seorang apabila mula memikirkan Nisreen. Daripada gelagatnya yang risau akan barang-barang yang mungkin tertinggal sehinggalah gayanya yang berlagak seperti pemandu teksi. Pemandu teksi…eh?

Aku mengingat kembali. Nisreen menghantar aku betul-betul dihadapan rumahku. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Macam mana dia boleh tahu kawasan mana umiku tinggal dan di perumahan mana. Ah sudah! Aku menepuk-nepuk pula dahiku. Ke aku ada terlepas cakap padanya? Tapi seingat aku tak ada! Tentang Umi dan Naqib pun belum pernahku sebut dihadapan Nisreen. Aku merebahkan semula kepala. Dah dah, tidur Ameer. Lama-lama psiko engkau fikir macam-macam malam-malam buta ini.

Wahai bunga jelmalah kamu
Sebarkanlah wangian agar seluruh alam dapat mencium harum dirimu…

  “Assalamualaikum Nisreen. Hah, penat saya cari awak. Di sini rupanya” aku menegur Nisreen yang sedang duduk bersendirian di suatu sudut di perpustakaan universiti.

“Waalaikumussalam. Ada apa hal cari saya ni?” jawab Nisreen. Dia menarik kerusi di sebelahnya dan menghulurkan kepadaku.

“Duduk dulu. Mengah macam baru lepas lari marathon” Nisreen bergurau. Aku tersenyum. “Mana tak mengahnya, daripada pagi saya cari awak baru tengahari jumpa awak kat sini” bisik hatiku sendirian.

“Hah, cakaplah. Awak cari saya sebab apa?” Nisreen menyoal.

  “Oh, tak err, saya nak tanya sesuatu. Apa ya, lupa dah. Oh ya, awak boleh tolong terangkan kat saya tentang hadis ni? Saya baca Subuh tadi tapi tak berapa nak masuklah” aku membuat helah sambil menghulurkan sebuah kitab hadis. Bukannya aku tak faham, cuma ingin mendengar contoh-contoh yang akan dikaitkan oleh Nisreen. Kira test powerlah ni. Hehehe…

“Erm, yang ini?” soal Nisreen. Aku mengangguk.

“Hazrat Abu Bakar radiAllah huanhu telah berkata….” Nisreen memulakan penerangan. Otakku berkhayal, langsung tidak mendengar apa yang dikatakan gara-gara terganggu dengan persoalan yang bermain dalam benak fikiranku sejak semalam.

  “So, awak dah faham dah?” soal Nisreen setelah tamat sesi penerangannya.

“Hmm? Oh dah. Macam tu rupanya. Terima kasihlah. Maaf ya menyusahkan awak” ujarku dan menutup kitab itu lalu memasukkannya kembali ke dalam beg.

“Nisreen, nak tanya sikit boleh?” aku memutuskan untuk bertanyakan hal itu kepadanya. Aku bukan boleh simpan lama-lama. Boleh jadi gila.

“Tanyalah” ujarnya.

“Semalam kan awak hantar saya pergi rumah mak saya. Erm, macam mana awak tahu mak saya tinggal di Sri Petaling dan kawasan perumahannya sekali?” soalku penuh berhati-hati. Terpampang perubahan pada riak wajah Nisreen. Berkerut dahinya. Namun seketika kemudian, dia kembali tersenyum.

“Wahai Ameer, adakah perkara ini begitu menganggu awak?” soal Nisreen. Aku benar-benar terkejut dengan cara percakapannya namun segera mengangguk.

“Sesungguhnya Allah itu Al-Hakim. Bijaknya Dia mengatur setiap qada’ dan qadar. Insya Allah, andai tertulis dalam takdir, jawapan pasti dalam tangan. Dan saya percaya jawapan itu bukan pada saya” Nisreen meneruskan kata-katanya. Aku mula keliru. Adakah ini bermaksud banyak lagi perkara tentangku yang diketahuinya? Siapakah Nisreen ini? Apa maksud kata-katanya?

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 9)

“Hah, awak nak saya hantar dekat mana ini?” Nisreen menyoal sebaik sahaja aku masuk semula ke perut kereta.

“Hantar dekat rumah mak saya, boleh?” balasku

“Beres” dia berkata sepatah.

Laju sahaja kereta Nisreen menyusur jalan raya Kuala Lumpur yang penuh dengan kenderaan pelbagai jenis. Aku mendiamkan diri sahaja. Keletihan mula menjengah otot-otot dan sendi-sendiku. Oh, alangkah indahnya mengulit mimpi di atas tilam Sweet Dreamku yang begitu empuk. Perutku tiba-tiba berkeroncong riang. Apalah agaknya lauk masakan umi hari ini. Oh ya, hampir terlupa! Umi bukan tahu bahawa aku dalam perjalanan ke rumahnya. Segera aku menyeluk ke dasar kocek seluarku untuk mengeluarkan telefon bimbit. Mesej dihantar. Aku tersenyum puas. ‘Malam ni, aku akan berlingkar di atas katil bagaikan ular sawa kekenyangan’. Senyumanku melebar dek bahagia yang teramat.

“Nombor berapa rumah awak ini?” soal Nisreen sebaik sahaja memasuki suatu lorong yang penuh dengan deretan banglo di kiri dan kanan jalan.

“No 7, tu yang warna peach tu” aku menunjukkan arah.

“Okey, dah sampai. RM 83.75 je, encik” Nisreen memberhentikan kereta lalu terus menghulurkan tangannya.

“Ish, tak malu minta duit. Nah, ambil ini. Terima kasih banyak!” aku menghulur duit lima sen empat keping dan meletakkannya di atas  dashboard kereta.

“Mana cukup encik. Apalah encik ini, tak apalah saya balik dulu” Nisreen memuncungkan mulutnya sambil menahan gelak.
Aku tersenyum kembali serta mengutip semula syiling yang bertaburan di atas dashboard kereta Nisreen itu.

“Terima kasih sekali lagi ya. Susah-susah saja” ujarku sejurus keluar dari perut kereta.
Nisreen mengangguk dan mengangkat tangannya pengganti salam. Dengan perlahan sport Lamboghini itu bergerak meninggalkan aku sendirian di luar rumah.

“Assalamualaikum! Umi! Umi!” laungku dari luar pagar. Seketika kemudian, kedengaran pintu utama dibuka. Susuk tubuh kecil ibuku mampu dikesan walaupun dalam samar cahaya malap lampu luar. Aku menyeringai kegembiraan.

“Ameer! Waalaikumussalam. Hai, balik dengan apa ni? Dah makan belum?” bertubi-tubi soalan ditembak daripada M16 mugil umi. Hai, kecil-kecil umi jangan bawa main. Mulutnya boleh tahan juga lajunya. Boleh jadi penyanyi rap gamaknya.

“Kok ya pun bukalah pagar ni dulu umi. Tak hilang lagi penat melaung panggil umi tadi. Dibuatnya anjing Uncle Leong terlepas mahu tak menangis Ameer kena gonggong nanti” ujarku, cuba untuk mengusik ibu kesayanganku itu.

“Alahai yalah. Anak umi ini balik banyak pula idea nak mengenakan umi, ya?”  ujar umi lalu menghulurkan tangan sebaik sahaja pintu pagar dibuka.

Aku tersengih seperti kerang busuk lalu menyambut tangan lembut itu dan menciumnya.

“Eh umi, ada bau sambal tumis kat tangan umi. Ha, umi masak apa hari ini?” aku mengusik umiku lagi. Dan balasan yang aku dapat kali ini bukan hanya bebelan, namun satu cubitan secukup rasa turut menjengah rusukku. Aku menggeliat kesakitan.

“Jom masuk. Nanti umi tinggal sorang-sorang kena gonggong dengan anjing Uncle Leong betul-betul baru tahu” umi mempelawa masuk dalam masa yang sama turut mengugut.
Aku menurut. Sememangnya aku tidak mampu menahan rasa laparku lagi. Setelah mencampakkan beg di bilik, kakiku deras mengatur langkah menuruni anak tangga dan terus menuju ke dapur.

“Umi, anak umi lagi seorang tu mana?” mataku melilau mencari Naqib Al-Arif, satu-satunya saudara kandung yang aku miliki di dunia ini sambil mencedok nasi ke dalam pinggan.

“Dia tak balik 2 hari dah. Buat assignment katanya. Tidur di rumah kawan”  dengan tenang umi menjawab. Ish ish umi ini. Sewaktu aku buat keputusan untuk menyewa rumah dahulu, bukan main bising lagi. Katanya aku tak boleh berengganglah, nanti aku kurus gara-gara dah tak boleh makan masakannya setiap hari lagilah. Macam-macam alasan dikeluarkan untuk menghalang aku meneruskan niatku. Hatta ke mana-mana setiap petang pun harus dimaklumkan kepadanya.

“Apasal budak Naqib tu lepas pula dari bawah ketiak umi. Ameer dulu…”
 “Ameer, anak umi dua orang ni lainlah. Naqib dah biasa bawa diri daripada kecil. Mungkin sebab dari kecil dia tak pernah jumpa abah. Jadi dia tak adalah manja sangat” Umi memotong percakapanku.

 “Dahtu umi nak cakap Ameer manjalah?” aku mencebik.

“Memang pun. Dah besar gajah pun merengek telefon umi suruh masak hujung minggu. Tak malu” Umi membidasku dengan kata-katanya. Ergh, panas pula telinga aku mendengarnya.

 “Umi ni suka je bangkang Ameer, macam kawan Ameer lagi sorang tu. Ada saja akal nak membidas orang. Sakit hati dibuatnya” fikiranku menerawang teringatkan kenangan sepanjang pergaduhan aku dan Nisreen sebelum kami berbaik-baik. Tersengih sendirian dibuatnya aku dengan kenangan-kenangan itu.

“Ai, sakit hati kat umi juga ke? Pula tu, sempat dia mengelamun depan rezeki. Ingat siapa?” umi mematikan lamunanku.

“Tak adalah umi, Ameer gurau je. Mana ada mengelamun. Cuma teringat budak yang suka bidas Ameer tulah. Macam umi. Kalau umi dengan dia jumpa, memang sah habislah Ameer jawabnya” ujarku sambil menunjukkan isyarat memotong leher.
 Umi tergelak dengan kata-kataku. Aku turut tersenyum sambil meneruskan suapanku.

“Suka Umi tengok Ameer makan. Semangat” kata Umi setelah sepi yang lama.

“Ish, Umi ni ada tengok Ameer makan. Tapi memang Ameer semangat pun makan masakan Umi ni. Sedap” aku memuji. Sambal yang tersisa di jari ku habiskan mengikut sunnah.

“Sebab tulah Ameer kena cari isteri cepat-cepat. Kan senang kalau ada orang boleh masak untuk Ameer hari-hari. Tak payahlah mengidam masakan Umi lagi” perbualan Umi mula memesong. Aku tersenyum.

“Umi carilah” ujarku.

“Okay” Umi menjawab sepatah. Aku tergelak sendirian. Umi, Umi.


Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 8)

“Semua dah siap? Barang-barang dah letak dalam kereta?” Nisreen memulakan sesi check list sambil memandang kami berdua. Aku dan Nurin tersenyum sambil mengangguk.

“Beres bos” serentak kami menjawab.

“Okay, barang-barang diorang bertiga tu dah hantar semalam so erm, tak ada apa-apa lagi yang tinggallah kan?” Nisreen memastikan sekali lagi.

“Dah. Semua dah beres. Kitorang tengah tunggu awak drive kereta nak balik KL” aku menjawab dengan senyuman sinis.

Geli hatiku melihat Nisreen yang begitu teliti menyemak barang-barang. Mungkin dia  pernah mengalami tragedi kehilangan barang semasa percutian. Hati kecilku ketawa sendirian.

“Haish, agak-agaklah nak menyindir tu. Alright, jom. Pakai seatbelt semua. Ameer, baca doa masuk kenderaan” Nisreen mencebik sambil kami bertiga masuk ke dalam kenderaan. Aku menurut kata-kata Nisreen dan mula berdoa kepada Allah agar perjalanan pulang kami ke Kuala Lumpur selamat serta dilindungiNya.

Deruan kereta sport Lamboghini milik Nisreen memecah kesunyian pagi di lebuh raya. Aku masih berkira-kira sebelum memulakan perbualan dengan si pemandu yang sedang menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Lama aku menatap wajah itu. Sekilas bayangan muncul di fikiranku. Aku seakan-akan tersentak dengan bayangan yang muncul itu.
Seperti sudah ku alami namun entah bila. ‘Ah, pedulikan. Kadangkala otak tak mampu membezakan mimpi dan realiti’ aku meredakan tanda tanya dalam benak fikiranku.

“Eh, apa tenung-tenung orang macam tu?” ujar Nisreen setelah menangkap aku yang sedang merenung tepat ke arahnya.

“Eii, perasan. Orang tenung pokok-pokok kat tepi jalan tu. Cantik sangat” aku yang menggelabah mula mencari alasan yang paling munasabah untuk menutup perbuatanku sebentar tadi.

“Haah. Cantik sangat. Nak terbelah dah dibuatnya pokok-pokok tu awak tenung” perli Nisreen sambil tergelak kecil. Akhirnya aku sendiri memecah kesunyian dengan tawaku.

“Erm…Nisreen. Boleh saya tanya awak sesuatu?” soalku di tengah-tengah kerancakan perbualan kami.

“Tanyalah” sepatah dia menjawab.

 “Dulu awak pernah tanya saya satu soalan kan?” aku melanjutkan pertanyaan.

“Hmm” dia berbunyi.
“Apa maksud awak bila awak tanya saya berapa lama dah kita bergaduh?” soalanku membuatkan suasana jadi sunyi sepi buat seketika. Nisreen hanya mengukir senyuman sebelum menjawab soalanku seketika kemudian.

 “Mana ada maksud apa-apa. Saya cuma hairan je masa tu sebab kita baik dalam masa tak sampai lima minit! Kelakar kan?” ujar Nisreen sambil ketawa sendiri.


“Saya tak ingat bila pertama kali kita gaduh dan sebab apa tapi yang pasti sejak tahun pertama kat universiti lagi kita dah bertekak. Pantang berjumpa, ada saja benda yang nak digaduhkan. Hahaha, saya rasa masa itu kita tak matang lagilah” aku mula mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku antara kami. Giliran aku pula ketawa sendirian.

“Tapi awak tahu, saya bersyukur kita banyak berdebat dulu. Banyak pengetahuan yang saya peroleh daripada awak setiap kali awak buka gedung ilmu dalam dada awak. Saya akui, awak lebih baik daripada saya tapi ego saya menafikannya. Maafkan saya” aku menyambung kata-kata setelah tawaku reda.

“Maafkan saya juga. Kadang-kadang saya terlalu beremosi. Betul cakap awak. Kalau kita tak pernah berjumpa dahulu…” kata-kata Nisreen tiba-tiba mati.

“Kalau kita tak berjumpa dulu?” aku menggesanya menyambung ayat dia yang tergantung.

“Kalau kita tak pernah jumpa dahulu, sudah tentulah ilmu saya tak bertambah. Hah, betullah tu. Itu yang saya nak cakap tadi” ujar Nisreen dengan nada sedikit gugup. Aku tersenyum sendiri.Tanpa aku sedari, sepasang telinga asyik mendengar perbualan kami sedangkan kami mengaggapnya sedang tidur.

“Okey, kakak berhentikan Nurin kat sini ya” tutur Nisreen sebaik sahaja tiba ke di hadapan rumah rakan Nurin di Kuala Lumpur.  Alhamdulillah, lancar perjalanan kami pada kali ini.

“Terima kasih banyak-banyak kakak. Maaflah menyusahkan kakak” ujar Nurin sambil melangkah pergi untuk mendapatkan begnya di but kereta.

“Nah, jaga diri Nurin. Kerja elok-elok ya” aku menitipkan sedikit nasihat sewaktu menyerahkan begnya. Nurin mengangguk sambil tersenyum manis. Aku dan Nisreen menuruti langkahnya ke dalam rumah dengan anak mata sehinggalah susuk tubuh itu hilang di sebalik daun pintu.

Komen dan LIKE anda sangat dihargai

Nisreen (Part 7)

Hari ketiga dan keempat, kami meneruskan photoshoot di hutan sekitar Brinchang dan beberapa tempat yang telah dipilih dan dirasakan sesuai untuk sesi fotografi. Ternyata, gambar-gambar yang diperoleh lebih baik daripada sesi yang pertama. Gambar-gambar yang keluar sangat meyakinkan. Aku bersyukur kerana usaha kali ini sungguh menjadi. Alhamdulillah..

            Esok kami bakal berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Seperti hari-hari yang lalu, makan malam kami dimasak istimewa oleh Makcik Ina dan anak gadisnya. Kami semua begitu senang bertandang ke rumah Makcik Ina bahkan Makcik Ina sendiri amat mengalu-alukan kedatangan kami. Tetapi, yang paling teruja sekali semestinya Nisreen kerana dia begitu menggemari bunga-bunga di kebun Makcik Ina. Sudah beberapa kali aku berhasil mengintai perlakuannya di kebun itu. Namun wajahnya tenang dan menawan dengan senyuman, tidak seperti pertama kali aku melihatnya sewaktu senja tempoh hari. Hatiku meronta-ronta inginkan kepastian lagi. Aku perlukan jawapan.

            “Abang Ashraf! Kak Solehah!” teriakan Mawaddah dari arah dapur mengejutkan seisi rumah. Kami segera bergegas untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.

            “Ya Allah, Solehah! Kenapa dengan Solehah ni, Mawaddah?” Ashraf segera menerpa ke arah Solehah yang sedang terkulai layu di lantai dapur.

            “Kami tengah goreng ayam tadi. Kak Solehah ada mengadu kepala dia sakit tapi lepastu terus dia pengsan” Mawaddah bercerita diselangi sendu.

            “Nurin, Mawaddah. Tolong angkat Solehah masuk dalam bilik. Ashraf, tolong ambilkan air kat sinki tu. Makcik rasa dia ni kurang tenaga. Badannya tak panas sangat” arah Makcik Ina. Masing-masing panik dan kelam-kabut melaksanakan arahan Makcik Ina. Aku dan Nisreen saling berpandangan. Nisreen mencapai sebatang pen dan sehelai kertas lalu mencatat sesuatu.

Awak tunggu kat depan. Solehah sedar nanti saya panggil

Aku mengangguk dan keluar dari dapur. Sendirian tanpa melakukan apa-apa langsung tidak menyenangkan aku. Lima minit kemudian kedengaran suara Nisreen memanggil aku. Segera aku melangkah ke bilik untuk mengetahui keadaan Solehah.

“Kan makcik dah cakap. Solehah ni kurang tenaga. Tengok bibir tu, pucat semacam. Meredah hutan tak ingat makan” Makcik Ina memulakan ceramahnya. Ya, aku mengaku kami memang terlupa bab makan sebaik sahaja memulakan kerja.

“Kakak boleh bangun tak ni?” Mawaddah menyoal sambil tangannya memerah tuala dan meletakkannya ke atas dahi Solehah.
“Tak payahlah nak bangun. Kita cancel balik esok. Boleh Ameer?” Ahraf menyampuk. Suaranya bergetar. Aku tahu dia sedang susah hati.
“Tapikan bang, Nurin ada temuduga esok kat KL. Nurin ingat nak tumpang sekali. Baru nak cakap malam ni” Nurin berkata dalam nada perlahan. Mesti dia serba salah dengan keadaan sekarang.
“Tak apalah. Ashraf dengan Mawaddah boleh tinggal kat sini. Nisreen boleh tolong hantarkan Nurin. Lagipun Nisreen sebenarnya ada hal malam esok. Tak boleh tangguh” Nisreen menawarkan diri. Kami semua bersetuju dengan cadangannya itu.

  Malam itu, Nisreen membawa Mawaddah pulang seketika ke bilik untuk mengemaskan barang-barang sementara Nurin dibawa untuk menemaninya di hotel. Aku bersendirian di bilik tanpa Ashraf. Keikhlasannya dalam perhubungan dia dan Solehah begitu mengagumkan. Namun hatiku langsung tidak bimbang dengan keadaan yang berlaku tadi. Aku masih mencari jawapan dalam diri Nisreen. Aku mungkin ada peluang esok. 

Komen dan LIKE anda sangat dihargai